Thursday, 25 August 2016

Panduan Untuk Pinda Ejaan Nama di Tiket Air Asia

Ini penerbangan pertama anda bersama AirAsia? ..Dah macam kaunter AirAsia pulak tanya soalan macam ni.


Kalau ini penerbangan pertama korang atau pun penerbangan kali ke - 100 pun, perkaran yang korang perlu titik beratkan adalah berkaitan ejaan nama penumpang. Jangan jadi saya ye kawan-kawan, lalai tak menyemak sebelum menekan butang purchase.


Kalau korang fly domestik, pastikan nama dan ejaan sama dengan dengan MyKad/MyKid dan untuk International pulak haruslah sama dengan passport. Jangan nak letak nama glemer korang bagai, confirm kene beli tiket baru nanti. Hahahah..


Apa perlu kita buat kalau tersalah ejaan pada nama korang atau penumpang? Senang je, tapi perlukan sedikit kerajinan. Follow step di bawah.



1. Click  Air Asia e-form

2. lengkapkan e-form. Pastikan bersedia dengan booking number, dokumen perjalanan dan salinan MyKid/MyKad dan tekan butang hantar/send.

3. Buka email korang dan tunggu Perakuan Kes/Acknowledgement Case No.

4. Berhubung dengan pihak Air Asia untuk maklumkan. Live Chat di sini



Banyak cara nak contact AirAsia ni antaranya seperti dibawah :
Kemudian bagi CAS xxx-xxx-xx no kepada customer care Air Asia.

5. Beri masa untuk mereka pinda permintaan korang. Biasanya dalam 2-5 jam. Macam kes saya lebih kurang 1 jam untuk 1 kes. Kalau dalam tempoh 5 jam mereka masih tak pinda, korang kene la follow up lagi. Kene rajin follow up.

Tetapi!!

Tetapi kalau korang semua malas nak buat semua step di atas. Ada yang lagi mudah tapi kene lah korang bergerak, jalan kaki, start enjin kenderaan korang. Korang terjah je kaunter servis Air Asia, beratur dan mintak diaorang pinda. Tapi jangan lupa bawak semua dokumen yang diperlukan. Settle!! 

Kat mana kaunter Air Asia. Kat sini 

Harap maklumat ni dapat membantu korang semua.

Wednesday, 10 August 2016

Cerita Bosan

Nak tau tak? Kami dah tulis panjang-panjang sambil tunggu turn doc panggil, tetiba time nak edit hilang semua.... Huaaa.. 😭😭😭😭 Penat tau kami nak ulang semula ayat-ayat yang kami karang berjela. Dah la nak post amik makan bulan. Sekali kami edit, terus hilang. Magic sungguh lah!!! 

Wednesday, 29 June 2016

TAG Pasangan Anda di Facebook

Ada terbaca di FB teguran-teguran dari ustaz dan ustazah, kakak dan abang berkenaan TAG artikel untuk pasangan. Yang selalu saya nampak kaum hawa TAG suami/boifren. Saya faham kita ni kadang-kadang ada bab tertentu yang susah untuk kita terangkan pada pasangan kita. Kalau jenis pasangan yang mudah untuk berkomunikasi dengan kita, mudah berbincang tu syukurlah. Kalau kene yang cakap sikit dah sentap, cakap sikit dah salah faham, cakap sikit dah angkat tangan, memang payahlah kan. 

Dan bab TAG ni, saya dah pernah terima teguran dari shuben di awal perkenalan 8 tahun sudah. Masa tu rasa mengada sangat, baru dalam proses kenal hati budi. Jadi, banyaklah benda yang kadang-kadang benda kecik pun boleh meletup macam gunung berapi. Selalu bercakap dalam hati ni, macam manalah nak bagitau dia ni supaya dia jadi macam tu macam ni macam yang kita mahukan. Masa tu jugaklah, selalu je geram tak faham apa yang kita nakkan. Last-last bila jumpa article yang rasa sesuai sangat untuk situasi yang terjadi, teruslah TAG kat shuben (masa tu boifren). Sekali dua, shuben senyap, lama-lama dia tegur. 

Teguran ringkas tapi sangat terkesan buat saya. 'Rasanya, kalau TAG di fb macamtu, ada tak orang lain yang akan tau situasi dan keadaan kita?' Saya ni degil sikit, masih lagi pertahankan apa yang saya buat dengan niat supaya shuben baca dan ambil pengajaran dan article yang saya TAG. Pada saya masa tu, apa salahnya pun kan? Bukan benda yang menyuruh kita kearah kejahatan.

Shuben balas dengan mudah 'Apa salahnya copy/paste dan sent msg private. Maruah masing-masing terjaga'. Kat situlah saya macam orang terjaga dari tidur. Selama saya TAG di public, langsung saya tak terfikirkan apa pandangan mereka yang lain dan tak fikirkan apa perasaan mereka yang saya TAG. Setakat TAG biasa-biasa saja tak jadi masalah kan. Setakat article CARA-CARA MERAWAT MUKA SECARA TRADISIONAL nak tag semua kawan sekolah hatta kawan sekampung pun takde masalah. Tapi kalau article JADILAH SUAMI YANG BERTANGGUNGJAWAB contohnya, agak-agak orang yang saya TAG segan tak? Terutama lelaki. Maruah mereka mungkin sedikit tercalar. 

Jadi bila isu ini pernah timbul, saya tersenyum sendiri dan bersyukur shuben pernah menegur saya 8 tahun dahulu semasa dalam tempoh berkawan. Terima kasih B. 

Monday, 4 April 2016

Ujian Ini Menguatkan Dan Menakutkan Saya

Diringkaskan, kerana kesilapan Pak Incek dalam percaturannya, saya dan Pak Incek dihina, dimalukan di dalam kumpulan yang besar yang ahlinya adalah dari anggota keluarga jauh dan dekat. Mengecewakan sangat bila intipatinya adalah tidak tepat 100%. Ada sebahagian benar dan sebahagian lagi fitnah. WhatsApp/Mesej saya di hujani dengan kata-kata nista. Belum lagi status nada perlian dan cemuhan di facebook. Allahuakbar.. Antara dugaan hebat yang saya terima. Selagi kita bernama MANUSIA kita tidak terlepas dengan kesilapan. Sebagai MANUSIA saya dan Pak Incek juga ada melakukan kesilapan.

Apa yang saya lakukan?
Saya menangis semahu-mahunya dan mengadu pada DIA.Siang malam saya mengadu padaNya. Saya minta dipermudahkan segala urusan, saya minta diberi kesabaran yang tinggi, saya minta rezki yang melimpah ruah, tutup aib saya di mata manusia, kuatkan iman saya dan saya minta supaya saya mampu untuk memaafkan 'mereka-mereka' ini.
Saya juga merujuk pada Kak Lya yang lebih berpengalaman. Saya tanyakan pengalamannya menghadapi situasi seperti ini.
Saya berbincang hati ke hati dengan Pak Incek untuk penyelesaian.
Saya juga berkirim doa pada bloggers Diana Ishak yang kebetulan sedang menunaikan umrah. Terima kasih tak terhingga Puan Diana Ishak.

Apa saya perolehi?
Alhamdulillah, cemuhan itu membuatkan saya sedikit kuat. Ujian itu menjadikan saya lebih menjaga hubungan saya dengan Allah SWT. Dan rezki datang tanpa terduga. Sedikit demi sedikit kami menapak semula. Alhamdulillah, syukur padaMu Allah. Paling utama saya belajar REDHA dengan semua yang berlaku.

Apa yang saya takutkan?
Allah Maha Pengasih Penyanyang.. Allah Maha Adil. Ada satu ketika kita sebagai manusia berada di puncak dan akan ada ketikanya kita akan berada di bawah. Dan ketika kita mula menapak dilandasan yang betul, akan tetap ada ujian yang datang.

'Apabila hendak menutup kesalahan diri sendiri, lantas kita menuding jari pada orang lain. Tetapi Allah maha pengasih penyanyang, Allah tunjukkan kebenarannya. Dan kita sebagai yang dituduh akan lega akhirnya kerana kebenaran terbuka. Akan ada orang-orang yang berkaitan akan tau tentang kebenaran ini.' Selanjutnya akhirnya mereka-mereka yang mencemuh menghina inilah juga yang menghulurkan tangan kirinya untuk digapai kerana terkapai-kapai.

Dan apa yang saya takutkan adalah saya akan menjadi riak dan sombong dengan kebenaran ini lantas tidak mengambil endah huluran tangan kiri yang hampir karam. Itu sangat saya takutkan. Harapan dan doa saya agar saya mampu meneruskan perasaan saya yang membiarkan dan tidak mengambil pusing dengan kebenaran ini dan mampu menyambut tangan kiri yang terkapai-kapai. Biarlah Allah yang menilai saya. 

Iklan radio 'Memafkan tidak mampu mengembalikan masa lepas tetapi mampu mengubah masa hadapan'. - Saya sedang berusaha sedaya upaya saya. Semoga Allah merahmati saya dan memberikan kekuatan kepada saya. 



Alfatihah Abah


Hari ulang tahun kelahiran abah 4 tahun lepas

Hari ini hari ke 242 abah menghadap penciptaNya.
Hari ini juga 4-4-2016 hari ulang tahun tahun kelahiran abah.
Hari ini kakmi rindukan abah lebih dari biasa.
Hari ini cucu abah asyik sebut 'Atok!' 'Atok!'. Lebih kerap dari semalam, dari minggu lepas.
Nanti kita semua akan berjumpa di sana.

لفاتحة
Ya Allah..
Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa kedua ibu bapaku
Dan kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku sewaktuku kecil.

Ya Allah..
Haramkan wajah ibu dan bapaku dari disambar api neraka dan kurniakan buat mereka syurga tanpa dihisap.

Amin..











Friday, 18 September 2015

Apa Beza Kau Dan Dia

Adalah satu kelaziman sekarang ni kalau tak puas hati dengan polan ibni mangkuk, cepat jer kau bukak laman sosial dan kau karang status ditujukan pada sesiapa yang kau tak puashati dengan harapan sebesar stadium makhluk yang kau tujukan tu baca. Lagi-lagi status tu package 20% benar + 50% fitnah + 30% perli. Eh! Ini dah jadi kebiasaan nak menyedapkan dan nak nampak win. Walhal kau bukan tahu 100% apa yang  berlaku, lagi parah bila kau pun setakat pendengar. Kau tak tau pun apa kau dengar 100% ketulenannya. Tapi apa kau kisahkan? Apa kau peduli perasaan orang yang kau hentam. Masa tu lah kau rasa kau suci, orang kau hentam tu hitam, gelap, banyak dosa. Masa tu kau yakin kau masuk syurga, orang kau hentam masuk masuk neraka jahanam. Yang penting inilah masanya kau nak membalas. Rasa hebat, puashati dan berjaya. Kau mesti ada feeling puashati tu sebab dapat balas balik. Masa tu keluarlah tanduk-tanduk tu.

Bayangkan pulak, kau baca status yang secara kau sendiri tau, status tu memang untuk kau. Sebab status terang-terang berkait dengan kau. Terbaiknya, kau pun memang ada krisis dengan dia. Menyala-nyala mentol amarah kau. Kalau terpegang mau meletop amarah kau. Apa kau nak buat? Kau mesti rasa nak maki kaw kaw orang tu, kalau depan kau comfirm kau tinju muka dia. Kau nak respond balik? Kau up status semula. Kau atur strategy, buat serangan. 

Faham tak point aku tanpa penjelasan? Hahahaha.

APA BEZA KAU DAN DIA?

Waktu kau masih layan cerita korea, darah panas, bercakap tak berfikir, tak berlapik. Apatah lagi kalau kau memang dalam situasi kebenaran, kau hentam selambe je, segigih gigihnya pertahankan. Tapi kau tak sedar, walau ianya satu kebenaran yang tak boleh disangsi, secara tak sengaja kadangkala apa yang keluar dari mulut boleh menyebabkan orang sentap makan tahun lamanya bila kau hentam tak tengok kiri kanan. Lagi di zaman canggih manggih ni, mulut tak payah nak bersuara, tapi jari ada menekan keyboard mewakili hati papar status di laman sosial. PUAS HATI AKU!!

Bila kau dah mula rasa sakit belikat, kau mula rasa jalan shopping mall sejam dua tapak kaki mengah-mengah masa tu kau rasa semakin pemikiran kau mula menjadi matang. Semakin kita cekap memujuk hati sendiri, semakin hebat menangkis fitnah dan cubaan. Semakin kau bijak mengabaikan perkara negative dan fitnah. Semakin kau pandai memaafkan orang-orang yang menyebabkan hati kau luka dalam diam. Sebenarnya kau semakin banyak mengutip pahala-pahala. Semakin berganda ganjaran kau akan terima. Semakin ikhlas kau meminta maaf dan memaafkan orang-orang yang menyakitkan hati dan yang membenci kau, semakin hati kau tenang. Hebat orang-orang begini. Semakin kau rasa, apa bezanya kau dan dia bila kau sama melayan? Kunci paling penting adalah SABAR dan mengadu kepadaNya kerana DIA adalah sebaik-baik pendengar. Mana tau satu hari nanti, orang-orang yang kau benci tahap general segala syaiton tu lah yang menolong dalam kepayahan dan kejatuhan kau. Benci biarlah berpada. Kau bukan taraf wali, taraf nabi yang bersih suci dari dosa. Kalau dah namanya manusia, kau pun penuh dosa yang bertimbun-timbun. 

Tak giteww?

Nabi SAW  bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.”
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)
Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud maksudnya: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir.”

Tuesday, 1 September 2015

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ

Hari ni hari yang ke - 22 abah tidak lagi bersama kami. 

Allah...Rindunya.. 
Sungguh sungguh kami rindu. 

Cucu abah kami ajar kalau bertanya atau mencari atok, jawapannya 'Atok jumpa Allah'. Alhamdulillah, cucu-cucu abah seakan faham. Cuma minggu pertama lepas abah pergi, Iman Zara menung, taknak makan, demam dan asyik tanya atok kat mana. Rindu Atok. 

Bukan takat kami-kami ni yang rindu, nuneng kucing abah tu pun rindukan abah. Masuk bilik abah, duduk dalam drawer baju abah. Moody taknak makan. Kami pun rindu abah Nuneng oii..

5 Ogos 2015, jam 8.00 
Abah sihat pagi tu, sibuk dengan berkebun, sibuk dengan sayur-sayurnya. Sibuk dengan angsanya. Kerap jugak kita sebagai anak membebel suruh berehat. 'Badan sakit tak keluar peluh lah'. Itu jawapannya. Tapi tengahari tu, abah macam tak larat. Nak pitam, muntah. Sempat lagi abah solat zuhur. dalam keadaan tak larat sebelum baring berehat. Abah berehat dan muntah-muntah. Puasa yang lepas, 2 kali abah tak sihat macamni, tapi sekejap je. Bila checkup di klinik, doc cakap abah ada angin. Nanti abah sihat semula. 

Tapi kali ni lain, hingga lewat petang abah masih tak sihat. Lemah. Kami buat keputusan bawa abah checkup. Hantar ke hospital Serdang, tapi ramai sangat orang di EMERGENCY. Adik putuskan untuk ke EMERGENCY Hospital Putrajaya. Selesai proses screening, saya sampai di hospital.  Hati kami suami isteri gelisah bila dapat whats app dari group family walhal ketika itu kami otw untuk dinner. Batalkan dinner, kami terus ke hospital. Abah di wheel chair terlentok ketika saya sampai. Kesiannya abah, nampak sangat tak larat. Tengok no giliran masih dalam lebih kurang 20 orang. 

En. Husband tanyakan abah kalau-kalau nak makan atau minum. Mak beritahu abah dari tengahari tak makan apa-apa. Abah jawab, 'mata abah kabur, lidah abah sakit sebelah kiri' dan percakapannya tidak jelas hingga buatkan kami bertanya berkali. Hati dah cuak, bertanya 'kenapa dengan abah?'. Dan itulah suara terakhir abah. En. Husband pantas suakan air di mulut abah, tapi abah tersedak tiba-tiba. habis air tersembur. Allahuakbar!!! Air mengalir keluar dari mulut, tapi bibir abah tak mampu langsung untuk katup untuk hentikan air liurnya menitik, jari abah tiba-tiba jatuh kanan dan kiri. Saya lapkan air liur yang mengalir dan saya pantas tahan kepala abah yang tiba-tiba lentok lemah ke kanan. Dalam keadaan kelam kabut, En. Husband bercakap di bahagian pendaftaran untuk bawa abah berjumpa dengan doc, tapi jawapan amat mengecewakan. 'Tak bolehlah Encik, orang lain pun beratur nak jumpa doc'. Allahuakbar! Abah di depan awak, wahai cik puan kaunter pendaftaran. Tanpa menunggu kebenaran, abah kami tolak ke bahagian screening semula, dan tanpa berlengah petugas terus meluru hantar abah ke zon merah. Dalam tempoh beberapa saat, abah dapat sawan. Tiba-tiba tubuh abah keras kejang. Dan semuanya bermula di sini.

6 Ogos 2015 jam 1.00 pagi abah di masukkan ke ICU/CCU.
Hasil CT Scan melihat blood blocking di kepala abah hanya setitik tetapi itu bukanlah keputusan sebenarnya. Abah takde kencing manis, darah tinggi dalam kawalan, abah on diet. Tidak merokok, tidak pernah mengalami strok. Kami sentiasa bawa abah checkup 3 bulan sekali di pusat kesihatan. Doc juga masih tertanya-tanya.

Jadilah kami adik beradik dan ipar penunggu hospital setiap hari. Entah kenapa, sayang sangat kami semua nak tinggalkan abah walau sekejap. Walhal waktu melawat hanyalah dari jam 12 hingga 2 dan 4.30 hingga 7 setiap hari. Namun kami semua setia menunggu dari panggil hingga lewat malam. Adik ipar semua turut ambil cuti, cuma ada yg kembali bekerja itu pun setengah hari selama 2 hari. Selebihnya kami berkampung di hospital. Setiap pagi, En. Husband usahakan untuk berjumpa doc pakar untuk tau perkembangan walau tiada petanda positif dari abah. Hasil CT scan ke-2, Hampir keseluruhan otak abah, tidak berfungsi dan day by day otak abah akan membengkak kerana tiada oxygen. Allahuakbar. Hari pertama di ICU kami semua adik beradik menantu dan mak dah minta ampun maaf dari abah. Ketika tu, air mata abah masih mengalir tiap kali kami panggil atau berbual dengannya. 

7 Ogos 2015
Pagi itu, hati kami positif. Walau doc kata abah tiada harapan, kami lihat jari abah shahadah. Sedangkan sebelum itu, jari-jari tangan abah terbuka biasa. Mungkin abah solat, telahan kami. Allahuakbar, abah memang seorang yang menjaga solat semasa hayatnya. Ada riak gembira di wajah mak dan adik-adik. Mengharap keajaiban Allah S.W.T. Hari-hari kami bergilir berbual dan membacakan surah yassin serta al- Raad tanpa henti. Hari ke - 3 dan 4 kami dah redho sangat redho. Terima kasih Allah pinjamkan abah buat kami. Terima kasih Allah.


8 Ogos 2015
Tiada perkembangan positif. Doc juga dah menerangkan kemungkinan-kemungkinan yang timbul. Dan kami pun telah membuat keputuan tidak perlu CPR sekiranya apa yang dinyatakan oleh doc berlaku.

9 Ogos 2015
Hari ke - 4 doc dah benarkan kami naik jumpa abah bila-bila masa sahaja tanpa sekatan sehingga jam 12.00 malam. Doc dah nyatakan awal-awal, situasi abah, hanya menunggu masanya. Mungkin cepat mungkin lambat. Hanya Allah yang maha mengetahi segalanya. En. Husband ambil kesempatan untuk membawa cucu abah berjumpa. Merayu dengan doc untuk bawa  cucu. Alhamdulillah, walau doc hanya memberi kebenaran kepada 5-6 cucu sahaja, tetapi sekurangnya Iman Zara antara yang dapat berjumpa. Iman Zara berlari ke tangga untuk naik ke tingkat 1 Wad ICU/CCU semula selepas berjumpa atok. Bila ditahan dia meronta-ronta dan menangis sambil menjerit ' Kakak nak ngok atok. Cian atok akit'. Allahuakbar!! Guard di kaunter masuk pun sedih. 

Abah di sokong sepenuhnya oleh machine, perasaan kami bergantung pada monitor machine. Menurut doc, abah kemungkinan tidak mendengar apa yang kami katakan. Tapi kami yakin, abah dengar kerana setiap kali kami berbual, mata abah ada linangan. ada sekali dua, jari kaki abah bergerak, tapi bila maklumkan pada doc, tiada penjelasan dari doc. Tak apalah, apa jadi, kami sekeluarga redho, Doa kami sekiranya setakat ini sahaja Allah pinjam abah buat kami, biarlah abah pergi dengan khusnul khotimah. 

Bermula dari hari sabtu 8 Ogos 2015 tak putus-putus saudara jauh dekat datang ziarah abah. Terima kasih kepada yang mendoakan, bersedeqah dan menziarahi abah sekiranya anda-anda membaca blog ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Apatah lagi Doc pakar berpesan jangan sesekali tinggalkan abah sendirian. Alhamdulillah, kami tak tinggalkan abah kecuali waktu-waktu yang tidak dibenarkan.

Alhamdulillah, dalam keadaan seperti ini, mak kuat. Mak menangis, tapi kami tahu mak kuat. Kerana kami semua anak-anak mak abah ada di sisi. 

11 Ogos 2015. Inilah masanya.
Pagi itu, selepas giliran yang menunggu dihospital balik, En, Husband berkali-kali menghubungi saya. Kerana kelam kabut pagi tu, takut terlambat ke hospital, panggilan tak berjawab. En. Husband Whatssapp minta saya segera ke hospital. Jangan tinggalkan abah walau sekejap. Kami berjaga dari pagi hingga jam 12.00 mlm dan 12.00 mlm hingga ke pagi disambung oleh adik dan ipar yang lain. Agak dizzy dan kelam kabut urus anak dan sebagainya. Kandungan SMS En. Husband :

' Ma. cepat ke hospital, jangan tinggal abah sendiri.
Mlm tadi macam mimpi dalam lebih kurang pukul 3.00 pagi tapi masa tu baru je tido lepas hantar abang Rizal p epot.
B mimpi abah. Tapi bukan macam mimpi, sebab sungguh b dapat rasa abah datang pada B. Abah pesan.
Jef,
Jaga mak
Jaga anak abah
Jaga rumah abah
Jaga cucu abah
Abah nak balik, Allah dah panggil
Ma cepat p hospital, bagitau semua. B otw.'

Whatsapp ni saya baca ketika saya hampir sampai di hospital. Allahuakbar. Benarkah? Hubungan abah dengan En. Husband memang sangat baik. Abah boleh bercerita dan mengadu apa sahaja dengan En. Husband. Parking yang penuh dan susah buatkan saya tawakal untuk parking di jalan besar exit hospital dan berjalan kaki ke hospital selepas menurukan mak dan adik di lobby hospital. Hati saya seakan ada suatu yang menyesakkan. Sambil berjalan saya whatsapp adik yang lain minta datang segera. 

Sampai di wad, tekanan nadi dan oxygen abah meningkat secara tiba-tiba selepas saya ucapkan salam dan pegang tangan abah. Pantas saya perdengarkan yassin seperti biasa sambil sebelah lagi menggenggam tangan abah. 


Baru suku bacaan, tiba-tiba tekanan nadi dan oxygen abah menurun. saya signal mak untuk syahadah di telinga abah. Hinggalah nurse datang dekat dan menyebut kalimah syahadah.. dan hinggalah di monitor menunjukkan angka 0. Akhirnya abah pergi di hari selasa jam 8.20 pagi disisi isteri dan anak-anak. Disahkan oleh Doc Darren yang merawat abah dan kebetulan beliau juga Doc yang merawat En. Husband ketika di ICU tempohari. 

Saya cuba tahankan dari menangis, saya peluk adik yang menangis dan saya katakan padanya kita kene kuat untuk mak. Saya kakak yang sulung dan saya perlu kuat. Hakikatnya saya menangis sendirian. Mak menangis tapi mak mampu mengawal. Alhamdulillah. Sempat kami ucapkan terima kasih kepada doc dan nurse yang merawat dan membantu abah selama 6 hari. Saya lihat ada air mata dikelopak mata mereka.

Pengurusan jenazah abah dilakukan dengan sepantas mungkin. Aadik-adik lelaki, En. Husband dan ipar yang memandikan dan mengkafankan abah sambil dibantu oleh pengurusan jenazah kariah Sg. Ramal dan diperhatikan imam sehinggalah ke liang lahad. Biarlah semuanya serba pantas, kasihan abah ..biarlah abah berehat dengan setenangnya. Bermula dari abah meninggal sehingga pengebumiannya serta talqin semuanya mengambil masa 5 jam. Alhamdulillah. Semoga abah ditempatkan bersama para solihin. Terima kasih Allah pinjamkan abah buat kami.

Mashud Binti Siti (1952-2015)
Besarnya pengorbanan Abah
Tak terhitung kasih sayang abah
Terima kasih abah
Abah lah Hero kami
Abah dahulu berjumpa adik Hafiz
Nantikan kami di sana Abah!
Nanti kita semua berjumpa di sana.


 بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
 الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
 الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ
مَـالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاك نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
 اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
  




Tuesday, 25 August 2015

Al- Fatihah Buat Abah

Hari ke -15 Pemergian Abah



Sayang abah tiada bandingan. 
Abah paling susah nak marah. 
Abah penyabar.
Abah paling simple dalam semua perkara. 
Abah jujur dan lurus. 
Abah suka buat kelakar. 
Abah tak pernah mengeluh penat. 

Abah! Abah! Abah! Abah! 
Suara anak abah bila datang jenguk mak abah. 
Abah tak pandai gunakan handphone tapi abah selalu tanyakan pada mak khabar anak-anak. 
Tak pernah nampak abah merajuk dengan kami, mungkin abah simpan di hati. 

Allahuakbar!! 
Baru seminggu tak dengar suara abah, rindunya.. 

Abah! Abah! Abah! Kita jumpa di sana nanti ye bah...


Dalam kenangan 04.04.1952 - 11.08.2015 (26 Syawal). Genap usia 63 tahun abah kembali ke penciptaNya.


Friday, 10 April 2015

Afgan - Ku Mohon

Setiap hariku mohon agar kau senantiasa
Memberiku ketenangan dalam hati kekuatan
Menempuhi segala dugaan yang mencabar ini
Pasti punya artinya

Kau beriku harapan, menjawab segala persoalan
Hadapi semua dalam tenang, dengan merasa kesyukuran
Ku doa kau selalu mengawasi gerak-gerikku
Berkatilah ku perlu rahmat dariMu

Oh Tuhan terangkan hati dalam sanubariku
Untuk menempuhi segala hidup penuh cabaran ini
Oh Tuhan ku berserah segalanya kepadaMu
Agar jiwaku tenang dengan bimbinganMu selalu

Ada kala ku merasa hidup ini seperti kaca
Jikalau tak bersabar hancur berderailah akhirnya
Tabahkanlah hatiku melalui semua itu ooh
Kuatkanlah (kuatkanlah) jagakanlah diriku

Oh Tuhan terangkan hati dalam sanubariku
Untuk menempuhi segala hidup penuh cabaran ini

Oh Tuhan ku berserah segalanya kepadaMu
Agar jiwaku tenang dengan bimbinganMu selalu
Curahkanlah nikmatMu kepada hidupku

Oh Tuhan terangkan hati dalam sanubariku
Untuk menempuhi segala hidup penuh cabaran ini

Oh Tuhan ku berserah segalanya kepadaMu
Agar jiwaku tenang dengan bimbinganMu selalu

 

PENAFIAN @ DISCLAIMER

Segala isi kandungan dan gambar-gambar di alenewphase.blogspot.com ini tidak boleh ditiru, dihasilkan semula dalam bentuk-bentuk lain, dipindahmilik, dicetak, disimpan atau digunakan semula. Setiap rujukan hendaklah memberi kredit dan/atau rujukan kepada alenewphase.blogspot.com. SEKIAN.

Adalah dimaklumkan sekali lagi apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, adalah melakukan suatu kesalahan, tindakan boleh diambil mengikut akta AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998